Budak 4 Tahun Mangsa Rogol Meninggal - Mumbai : Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun meninggal dunia di hospital hampir dua minggu selepas dia diperkosa dan ditemui tidak sedarkan diri di ladang, kata kakitangan hospital semalam.
Kanak-kanak itu dibawa dengan ambulans udara dari negeri Madhya Pradesh ke Hospital Care di bandar raya Nagpur pada 20 Oktober lalu, di mana dia meninggal dunia malam kelmarin.
“Dia meninggal selepas degupan jantungnya terhenti kira-kira jam 7.45 malam. Kami sudah melakukan semua usaha…tetapi keadaannya semakin buruk dan tekanan darahnya menurun. Dia tidak memberi tindak balas terhadap ubat-ubatan diberikan,” kata jurucakap hospital itu, PA Sriram kepada media.
Mangsa ditemui tidak sedarkan diri oleh ibu bapanya pada 18 Oktober lalu, sehari selepas seorang lelaki berusia 35 tahun didakwa merogolnya di bandar Ghansour dan membuangnya di ladang, lapor akhbar Press Trust of India. Pada awalnya, dia dibawa ke hospital tempatan sebelum dipindahkan ke Nagpur di negeri Maharashtra dua hari kemudian.
Polis telah menahan seorang individu yang didakwa terbabit dalam kes itu di utara negeri Bihar. Kes itu adalah yang terbaru dalam beberapa siri serangan seks berprofil tinggi yang mencetuskan kemarahan di India ekoran layanan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan. Bantahan pertama kali dilakukan Disember lalu ekoran insiden kejam rogol berkumpulan terhadap pelajar berusia 23 tahun. – Webberita | Terkini