Ika NabilaAnggap Perbuatan Minta Gambar Bogel Biadab - PADA bulan lalu, pelakon Ika Nabila telah dikritik ramai kerana tindakannya yang menghamburkan kata-kata yang agak kesat di laman sosial Instagram miliknya.
Perkara tersebut berlaku gara-gara ada individu yang tidak bertanggungjawab telah meminta gambar bogelnya sewaktu dia pergi bercuti ke Krabi, Thailand baru-baru ini.
Bertemu dengan bintang Akademi Fantasia musim keenam itu dalam sebuah pertunjukan fesyen Oriental Rhapsody yang berlangsung di The Weld, Kuala Lumpur baru-baru ini, Ika lantas memberikan penjelasan.
Ujarnya, tindakan yang dilakukannya itu bukanlah disengajakan, namun ia lebih kepada luahan kekecewaan sehingga telah mengganggu mood percutiannya itu.
Kosmo!: Boleh jelaskan lebih lanjut tentang isu gambar bogel yang melanda diri Ika?
IKA NABILA: Sebenarnya saya sangat hairan apabila ada individu yang menjadi pengikut saya di Instagram telah melakukan tindakan di luar batasan yang mahu meminta gambar bogel saya.
Ia sesuatu yang mengejutkan kerana sepanjang percutian saya tidak pernah memakai yang menjolok mata, seksi atau berbikini. Itu yang telah membuatkan saya sangat marah.
Ayat-ayat yang diluahkan oleh anda itu nampak agak keterlaluan. Kenapa anda sanggup meluahkan ayat yang sedemikian?
Saya sedar perbuatan tersebut memang nampak biadap sehingga mendapat kritikan ramai, namun saya rasa perbuatan yang biadab harus dibalas dengan cara sama.
Lagipun saya menjadi mangsa keadaan atas perbuatan tidak bermoral oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Tidak dinafikan saya terlalu beremosi ketika menulisnya.
Adakah Ika ingin mengambil sebarang tindakan terhadap individu berkenaan?
Seboleh-bolehnya saya tidak mahu memanjangkan isu yang timbul dan menganggap apa yang dilakukan oleh individu itu sebagai perbuatan yang hanya membuang masa.
Selain itu, saya ingin mengambil kesempatan untuk meminta maaf kepada semua pihak, terutamanya para peminat atas ketelanjuran menulis kata-kata yang kurang baik di Instagram.
Adakah isu yang timbul ini telah memberikan tekanan kepada diri Ika?
Setakat ini saya tidaklah berhadapan dengan sebarang tekanan, malah ada juga yang menyokong tindakan tersebut kerana mereka faham dengan situasi yang saya lalui.
Selain itu, saya sangat bersyukur apabila masih ramai orang di sekeliling yang mengambil berat terhadap diri saya. Namun begitu, saya berharap supaya isu sebegini tidak lagi timbul.
Ceritakan tentang perkembangan terbaharu kerjaya Ika sekarang?
Filem lakonan saya iaitu Tanda Putera baru sahaja ditayangkan dan bulan lalu saya selesai menjalani penggambaran filem Gangster Superstar arahan Khabir Bhatia.
Tidak lama lagi saya akan muncul dengan single terbaharu setelah kali terakhir merakamkan lagu berjudul Tiada Rasa yang menjadi lagu tema untuk drama bersiri Julia pada tahun lalu. – Webberita | Terkini via Kosmo